UMS Komited Bangunkan Ekosistem Marin Yang Mampan

155
Daud (duduk tengah) bersama Kamarudin merakamkan gambar kenangan dengan pembentang kertas kerja dan peserta persidangan berkenaan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus memainkan peranan membantu dalam pembangunan mampan yang berkaitan dengan ekosistem marin dan pengeluaran makanan laut di negeri ini.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D. Kamarudin D. Mudin berkata, para pengkaji sentiasa mencari kaedah terbaik untuk memastikan sistem akuakultur yang ada mampu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Beliau berkata, pihak UMS sentiasa memberi keutamaan kepada usaha memastikan sistem akuakultur dan alam sekitar yang mampan dapat diwujudkan.

”Pengkaji kita sedang berusaha mengunakan kaedah karbon yang rendah dalam menguruskan sumber marin dan sistem akuakultur,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Sains Marin dan Akuakultur: Biodiversti Marin untuk Pengurusan Mampan Akuakultur dan Perkhidmatan Ekosistem, di sini pada Selasa.

Kamarudin berkata, pihaknya telah melaksanakan beberapa program bagi mendidik dan mendedahkan masyarakat di pesisir pantai mengenai kepentingan penjagaan ekosistem marin.

Katanya, pembangunan mampan di peringkat kebangsaan akan dapat dicapai sekiranya kaedah pelaksanaan terbaik dikenalpasti dan kemudian dikongsikan bersama institusi pembuat dasar.

Kamarudin dan Ketua Seksyen Bahagian Kerjasama Akademi-Industri Muzium Sains Marin & Teknologi Negara Taiwan Shih Tung Wei (kanan), sambil disaksikan oleh Daud (dua kanan) dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk KY Mustapha (tiga kanan)

Mengenai majlis itu, beliau berharap delegasi dan pengkaji yang menyertai persidangan itu dapat mencari kaedah dan pendekatan terbaik bagi meneruskan usaha pemuliharaan sumber marin dan akuakultur.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusof ketika berucap merasmikan persidangan itu berharap delegasi yang hadir dapat menggabungkan komponen yang berbeza dalam biodiversiti laut dengan perkhidmatan ekosistem marin secara spesifik untuk mendapatkan gambaran tentang langkah seterusnya yang boleh dilakukan.

Katanya, pandangan para pengkaji biasanya disokong dengan bukti jelas dan contoh realistik yang akan mempengaruhi persepsi orang awam serta institusi pembuat dasar untuk diambil kira dalam langkah melaksana pemulihan marin dan pengurusan yang mampan.

”Pengkaji boleh memainkan peranan penting di peringkat pembangunan kebangsaan jika mereka dapat menghubungkan konservasi marin dan akuakultur dengan pembangunan mampan.

”Mereka (pengkaji) kemudian boleh berkongsi dan menyuarakan hasil kajian mereka melalui persidangan sebegini mahupun menerusi penghasilan buku,” kata Daud.

Dalam majlis itu, UMS turut memeterai Perjanjian Persefahaman bersama Institut Marin Biodiversiti Korea dan Muzium Sains Marin dan Teknologi Negara Taiwan.

Kedua-dua perjanjian bersama institut dari Korea dan Taiwan itu merupakan kerjasama lima tahun bagi berkongsi ilmu dan kepakaran dalam pembangunan ekosistem marin yang mampan.

Melalui MoU itu, UMS akan menghantar pelajar bagi melihat sendiri kaedah dan teknologi marin yang digunapakai dikedua-dua negara berkenaan. Kemudian ilmu pengetahuan yang diperolehi itu boleh dimanfaatkan bagi membangunkan ekosistem marin yang mampan di Sabah.