UMS Bakal Rai 4,405 Graduan Sempena Konvokesyen Ke-23

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka akan melahirkan seramai 4,405 graduan dalam pelbagai bidang kepakaran bagi tahun 2021.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail berkata, daripada keseluruhan jumlah tersebut, 521 pelajar terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Bagi pelajar di peringkat prasiswazah, dijangka 3,663 graduan akan menerima skrol ijazah sarjana muda, di samping 134 graduan di peringkat diploma, dan 87 graduan peringkat Diploma Pascasiswazah.

“Ini merupakan usaha berterusan universiti bagi memenuhi keperluan negara dan tuntutan masyarakat bagi menghasilkan graduan yang berkepakaran dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian satu kenyataan di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Rasid memaklumkan, senarai muktamad para graduan itu akan diisytiharkan Yang DiPertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tun (Dr.) Hj. Juhar Datuk Hj. Mahiruddin sebelum penghujung tahun 2021.

“Untuk makluman, istiadat konvokesyen yang biasanya diadakan pada bulan November setiap tahun ditangguhkan berikutan ancaman dan isu keselamatan ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Dengan mengambil kira beberapa faktor seperti kelancaran dan hal-hal keselamatan yang saya nyatakan tadi, maka majlis istiadat konvokesyen bagi graduan UMS 2021 dirancang untuk dilaksanakan pada Jun 2022,” jelas Rasid.

Sementara itu, hampir kesemua 4,639 graduan prasiswazah dan pascasiswazah UMS yang diisytiharkan Canselor UMS pada 30 Disember 2020 telah pun menerima skrol dan transkrip keputusan masing-masing.

Menurut Rasid, skrol tersebut dihantar melalui pos, dan terdapat juga yang hadir mengambil sendiri di UMS.

“Satu berita gembira untuk graduan yang tamat pengajian pada tahun berkenaan, UMS merancang untuk mengadakan majlis istiadat konvokesyen bagi kesemua anda pada bulan Mac 2022.

“Penangguhan majlis ini, yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan November 2020 adalah disebabkan halangan dan isu keselamatan kesihatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Jika keadaan mengizinkan, majlis istiadat konvokesyen bagi graduan tahun 2022 pula akan dilaksanakan pada bulan November, sekali gus menjadikan tiga majlis konvokesyen diadakan UMS pada tahun hadapan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Rasid turut memaklumkan bahawa komposisi graduan UMS adalah terdiri daripada 40-45 peratus berasal dari luar Sabah, termasuk pelajar antarabangsa.

“Justeru, keadaan ini memerlukan perancangan yang lebih rapi, berbanding rakan Istitusi Pengajian Tinggi yang lain terutama keperluan perjalanan dan pergerakan rentas negeri dalam kalangan graduan dan keluarga mereka.

“Pada masa ini, semua proses persiapan sedang giat dijalankan, dan harapan kita semoga ketiga-tiga istiadat majlis konvokesyen UMS ini dilaksanakan dengan baik mengikut perancangan yang dibuat,” katanya.