UMNOlah Sebenarnya Yang Rakyat Tidak Percaya

3214
Arifin Asgali

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: UMNO perlu sedar bahawa kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah disebabkan rakyat telah menolak pemimpin-pemimpinnya yang terpalit dengan rasuah dan ketirisan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Arifin Asgali berkata, rakyat Sabah kini menaruh kepercayaan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk mentadbir negeri, justeru amanah itu akan dipikul dengan baik.

Beliau berkata, sokongan kuat di pantai timur termasuk Sandakan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal juga membuktikan bahawa rakyat percaya beliau mampu membawa kemajuan ke wilayah itu terutama Sandakan.

“Siapa yang tidak percaya? Rakyat telah membuat keputusan untuk memilih kerajaan baharu disebabkan ketidakpercayaan mereka kepada kerajaan lalu kerana ketirisan dan rasuah yang berleluasa.

“Disebabkan itu Warisan akan memastikan semua itu tidak berlaku. Kita bukan hanya berpolitik tetapi terus berusaha mengembalikan kegemilangan pembangunan Sabah,” katanya kepada Borneo Today hari ini.

Arifin yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain bahawa pelabur tidak akan melabur di negeri ini kerana tidak mempercayai Warisan mampu mentadbir Sabah.

Kenyataan Abdul Aziz itu susulan cadangan Mohd. Shafie semalam bahawa beliau akan memanggil ahli-ahli perniagaan atau ‘tauke-tauke’ besar untuk membantu kerajaan membawa pelaburan ke Sandakan dan membangunkan kembali ekonomi bandar itu.

Arifin berkata, pemimpin-pemimpin Warisan mentadbir negeri ini dalam suasana harmoni dan turut menyangkal dakwaan kononnya mereka sedang bercakaran antara satu sama lain.

Jelas beliau, tauke-tauke besar ini perlu mengambil peluang bersama kerajaan kerana manfaatnya nanti bukan sahaja kepada rakyat tetapi turut mampu menambahkan lagi kekayaan mereka disebabkan ekonomi yang pesat.

“Cadangan Ketua Menteri itu adalah satu usaha yang baik demi Sandakan dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk Sandakan.

“Saya harap tauke-tauke ini akan bersama beliau membangunkan Sandakan seperti suatu ketika dulu.

“Sebagai kerajaan yang baru tidak sampai setahun, banyak perkara yang perlu diteliti di dalam kita membuat keputusan, namun kita yakin akan mencapai hala tuju dalam memberi peluang pekerjaan kepada anak Sabah,” jelas beliau.