UMNO Umum Gencatan Politik, Dokong Kerajaan PN

ZAHID HAMIDI

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KUALA LUMPUR: UMNO mengumumkan gencatan politik bagi memastikan tumpuan diberi kepada membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan akibat Covid-19.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu juga dalam masa sama mengambil pendirian untuk mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, UMNO turut mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet memberikan sepenuh tumpuan pada usaha untuk membantu dan meringankan beban yang ditanggung rakyat akibat kesan ekonomi dan pandemik Covid-19.

“Kerjasama semua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik saat negara menghadapi ancaman COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.