UMNO Sabah Terima Kemasukan Yusof Yaakob

SIPITANG: UMNO Sabah mengumumkan menerima semula penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yaacob ke dalam parti tersebut.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah secara rasmi menerima kemasukan Yusof bersama lima bekas ketua penerangan bahagian Parti Warisan.

Beliau berkata, mengikut polisi UMNO, mereka sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana individu sama ada bekas ahli parti itu mahupun mereka yang baharu hendak menyertai UMNO.

“Kita akan memastikan mereka ini dapat memainkan peranan membantu memperkukuhkan UMNO pada masa akan datang,” katanya semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Sindumin kelmarin.
Menurut Bung Moktar, sudah menjadi polisi UMNO Sabah mengamalkan dasar buka pintu kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai parti tersebut.

Jadi, tidak timbul sebarang pertikaian untuk menerima mana-mana bekas pemimpin UMNO untuk kembali semula menyertai parti itu.

“Parti ini perlu digembeling secara bersama kerana UMNO tidak boleh hidup jika bersendirian. Kita akan lebih kuat apabila kita buka pintu,” katanya.