UMNO Sabah Sokong Penuh Setiap Keputusan Presiden

GHAZALIE

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyokong sepenuhnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam memimpin parti dan mencari jalan penyelesian terbaik untuk rakyat di sebalik pandemik Covid-19 yang melanda.

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, UMNO Sabah percaya Presiden UMNO mempunyai kebijaksanaan dalam apa sahaja keputusan dibuat demi untuk kepentingan setiap ahli UMNO dan rakyat Malaysia amnya.

“Kekuatan utama UMNO selama ini diletakkan pada tiga slogan iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’, justeru semangat perjuangan ini sentiasa menjadi pegangan untuk memberi dorongan kepada Presiden UMNO terus bersuara demi rakyat dan terus memimpin,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perbahasan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Ahmad Zahid merupakan antara yang memberi kritikan kepada Kerajaan Persekutuan untuk memastikan beberapa perubahan dibuat demi rakyat sebelum diluluskan.

Cadangan yang diberikan Presiden UMNO itu dilihat perlu dipertimbangkan sepenuhnya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jika mahu Belanjawan 2021 lulus.

Ghazalie berkata, ketegasan yang ditunjukkan Zahid dalam memastikan rakyat dibela sepanjang pandemik Covid-19 perlu disokong sepenuhnya.

“Dalam berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19 ketika ini, ketegasan suara pemimpin seperti Presiden UMNO perlu disokong kerana penting demi memastikan penderitaan rakyat dapat dikurangkan.

“UMNO Sabah menyeru semua pemimpin UMNO di negeri-negeri lain turut berdiri teguh di belakang Presiden UMNO, kita telah melalui tempoh paling sukar selepas tewas pada 2018, kini kita kembali bangkit untuk meneruskan perjuangan rakyat,” katanya.