UMNO Sabah Sasar Tandingi Lebih 10 Kerusi Dalam PRU15

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Umno Sabah menyasarkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan bilangan kerusi Parlimen tidak kurang dari jumlah yang ditandingi dalam PRU-14 lepas.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dalam PRU-1, Umno diberi peluang untuk bertanding 14 kerusi Parlimen iaitu Kudat, Kota Belud,Sepanggar, Papar, Kimanis,Beaufort, Sipitang, Tenom,Beluran,Libaran,Kinabatangan, Silam,Semporna dan Kalabakan.

Dengan itu, Umno menyasarkan jumlah kerusi yang hampir sama dengan PRU-14. Sasaran itu akan ditetapkan berdasarkan kajian Jabatan Urusan Pilihanraya (JUARA) Umno Sabah, dimana sekretrariat penyelidikan yang dipengerusikan oleh Ir.Shahelmey Yahya bersama jawatankuasa akan membuat penyelidikan tentang kekuatan sokongan rakyat kepada Umno bagi kerusi yang akan ditandingi.

“Penyelidikan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan hasil daripada rumusan laporan itu nanti kita akan muktamadkan keputusan kerusi parlimen mana yang bakal ditandingi oleh Umno,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat JUARA Umno Sabah, di Bangunan Umno, pada Sabtu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah ini berkata, dalam soal calon-calon yang bakal bertanding pada PRU-15 akan datang, perundingan awal bersama BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu dilakukan secara telus berdasarkan kepada kekuatan parti masing-masing.

Katanya, ianya perlu diputuskan lebih awal agar tidak menunggu saat-saat akhir menghadapi PRU-15.

“Dalam PRU-15 kita mahu menang untuk menubuhkan kerajaan bukan kerusi untuk bermegah. Jadi kita mesti teliti setiap kerusi, geopolitik, kehendak pengundi dan lokaliti,” katanya.

Bung berkata, beliau turut mengadakan perjumpaan bersama menteri dan pembantu menteri yang diwakili oleh Umno dan selepas itu turut mengadakan mesyuarat perhubungan Umno Sabah.

Dalam perjumpaan itu, beliau turut mengingatkan mereka agar lebih proaktif untuk turun padang menangani masalah rakyat terutamanya ketika pandemik Covid-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana, kebanyakan rakyat di luar bandar terjejas dan memerlukan bantuan.

“Saya harap semua wakil rakyat Umno mengekalkan momentum untuk terus bekerja untuk rakyat sejak diangkat menjadi wakil rakyat bukannya berkerja ketika dekat pilihan raya” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan dan juga ADUN Lamag ini berkata, sempena sambutan 30 tahun Umno melebarkan sayapnya ke Sabah, satu majlis akan diadakan pada 20 Feb dengan perhimpunan secara sederhana yang mengikut  SOP ditetapkan.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Yakub Khan, Pengerusi JUARA Umno Sabah yang juga Setiausaha Umno Sabah Datuk Jafry Arifin dan Pengarah Pilihanraya PRU15 Datuk Seri Salleh Tun Said.