UMNO Sabah Ingatkan Hajiji Kerusi Tradisi Akan Ditandingi

Ghazalie Ansing

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah untuk bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat reaksi balas daripada UMNO Sabah.

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing menegaskan, parti itu mempunyai kuasa autonomi untuk membuat keputusan dan apa yang telah diputuskan sebelum ini ialah semua kerusi tradisi UMNO akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Tegasnya, pemimpin-pemimpin UMNO yang menang dalam pilihan raya umum 2018 tetapi melompat menyertai Bersatu perlu menerima hakikat bahwa kerusi mereka adalah milik parti bukan individu.

“Di peringkat UMNO secara dasarnya kita akan bertanding di semua kerusi yang kita menang, semua kerusi yang kita telah tanding dan telah kalah.

“Mana-mana kerusi yang kita fikir akan menang kita akan pergi dan kita sasarkan seperti dikatakan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sekurang-kurangnya 38 kerusi tapi mungkin boleh capai 50, itu kita tidak pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu hari ini, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan Bersatu akan bertanding di 45 kerusi DUN.

Hajiji Noor

Kata Hajiji, Bersatu juga akan berbincang dengan komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam membina kekuatan.

Ditanya mengenai hasrat Bersatu Sabah untuk  berbincang, Ghazalie berkata, apa sahaja rundingan mesti berlandaskan dasar bahawa UMNO mahu semua kerusi tradisi parti itu terutama yang dimenangi sebelum ini.

Tentang kemungkinan berlaku pertembungan antara Bersatu dan UMNO, tegas Ghazalie, UMNO tidak pernah lari dari kerusi tersebut hanya pemimpinnya sahaja yang melompat.

“Kalau mahu bincang mesti atas dasar itu, mereka yang sudah buat keputusan melompat tidak membawa nama UMNO tetapi atas diri sendiri.

“Jika itu kerusi UMNO, kami akan tanding balik,” katanya.