UMNO Sabah Berlembut Dengan ‘Rakan-rakan’?

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: UMNO Sabah nampaknya bersedia untuk berlembut dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dalam agihan kerusi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah dan Barisan Nasional (BN) sedia berunding dengan ‘rakan-rakan’ mereka untuk memastikan semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada akan ditandingi.

Dalam sidang akhbarnya hari ini, ketika ditanya tentang hasrat Bersatu untuk bertanding di 45 kerusi, Bung berkata, UMNO tidak akan mengenepikan ‘rakan-rakan’ yang lain.

“UMNO Sabah, Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakan yang lain kita akan bertanding 73 kerusi menentang Warisan.

“Bermakna UMNO Sabah akan berunding di kalangan komponen BN dalam sehari dua ini dan seterusnya kita akan berunding dengan rakan-rakan kita yang tidak pro dengan Warisan,” katanya.

Semalam, Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, parti itu berhasrat untuk bertanding di 45 kerusi DUN dalam PRN Sabah.

Kenyataan itu bagaimanapun dibidas oleh pemimpin-pemimpin UMNO Pusat yang menasihatkan Hajiji agar ‘jangan bermimpi’.

Sementara itu, ditanya berapa kerusi disasarkan UMNO, Bung berkata, jumlahnya tidak kurang daripada yang ditandingi mereka sebelum ini, namun perlu bergantung kepada rundingan dengan ‘rakan-rakan’

“Ada sudah cuma kita belum muktamadkan kita tunggu dulu perbincangan kita,” katanya.