UMNO Sabah Anggap Bersatu Sabah Umpama Nasi Basi

GHAZALIE ANSING

KOTA KINABALU: Perang mulut antara UMNO Sabah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah semakin panas apabila pemimpin kedua-dua pihak mula berbalas serangan.

Terbaru, Pengarah Strategik dan Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing menganggap penerimaan rakyat negeri ini terhadap kehadiran Bersatu Sabah adalah umpama ‘nasi sejuk yang semakin basi’.

Ghazalie berkata, ketika Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mendakwa pemimpin UMNO Sabah dalam sindrom penafian kerana tidak dapat menerima ahli-ahlinya yang telah keluar, hakikatnya jumlah perwakilan yang hadir dalam mesyuarat parti itu amat mengejutkan.

“Persidangan UMNO di Sabah berlangsung dalam sambutan yang sangat mengejutkan, adakah Bersatu Sabah di bawah pimpinan Hajiji berasa tergugat?

“Saya cadangkan Hajiji berpolitik dengan matang berbanding bermain persepsi dan simbolik, hakikatnya penerimaan Bersatu Sabah ibarat ‘nasi sejuk yang semakin basi’,” katanya kepada Borneo Today hari ini.

Ghazalie berkata demikian sebagai membalas serangan Hajiji yang mendakwa UMNO kini tidak lagi mendapat sokongan ahli-ahlinya yang memilih untuk menyertai Bersatu Sabah.

Kata Hajiji, penolakan terhadap pemimpin UMNO adalah kerana mereka terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Hajiji sebelum ini merupakan wakil rakyat UMNO sejak tahun 1990-an, malah selepas Pilihan Raya Umum lalu beliau dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah sebelum melompat parti menyertai Bersatu.

Ghazalie yang juga Pemangku Ketua UMNO Tawau berkata, kenyataan Hajiji itu sebenarnya bertujuan menarik perhatian rakyat kononnya Bersatu Sabah mendapat sambutan walaupun hakikatnya berlainan.

Mengulas lanjut katanya, sejak tindakan lompat parti dilakukan Hajiji dan beberapa pemimpin UMNO, parti itu telah melalui proses penstrukturan semula dengan menampilkan orang-orang baharu.

“UMNO melihat sekiranya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, kami dapat merampas semula kerusi-kerusi milik Barisan Nasional (BN) dengan majoriti mudah,” katanya.

BERITA BERKAITAN :-

Hajiji: Pemimpin UMNO Rasuah, Salah Guna Kuasa