UMNO Kepada Hajiji: Jangan Mimpi, Pembelot

Shahril Sufian, kiri, “sebelum berunding pun Bersatu sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45 kerusi.”

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dinasihatkan supaya ‘jangan bermimpi’ apabila menyatakan hasrat untuk bertanding 45 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan secara sinis turut menyindir Hajiji iaitu jika betul mahu bersahabat dengan UMNO, buatlah cara bersahabat.

“Dua perkataan: Jangan mimpi.

“Kita boleh berbincang. Kita boleh berunding.

“UMNO Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi. Tetapi kalau sebelum berunding pun Bersatu sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45 kerusi.

“Itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan,” katanya seperti dilaporkan portal berita MalaysiaKini.

Shahril dalam kenyataannya turut menasihatkan Bersatu Sabah supaya menghormati proses perundingan.

“Untuk Bersatu Sabah, dalam senario politik mutakhir, berfikirlah dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan atau bertindak.

Khaled Nordin

“Kerana setiap tindakan itu akan memberi kesan sampai ke akar umbi, dan tidak terhad ke Sabah sahaja,” katanya.

WUJUD BERSATU DI SABAH KERANA KUMPULAN PEMBELOT

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengecam hasrat Bersatu Sabah dengan menyifatkan kewujudan parti itu hanyalah disebabkan oleh sekumpulan pengkhianat.

“Dia dengan parti dia, kita dengan parti kita. Wujud Bersatu di Sabah kerana kumpulan pembelot. UMNO akan terus dapat sokongan akar umbi,” katanya di laman Facebook beliau hari ini.

Terdahulu hari ini, Pengarah Komunikasi UMNO, Ghazalie Ansing turut mengingatkan Hajiji bahwa UMNO akan bertanding di semua kerusi tradisinya selama ini terutama yang dimenangi pada 2018.

Tegas beliau, kerusi itu dimiliki oleh UMNO bukannya oleh pemimpin yang meninggalkan parti selepas tewas.

BERITA BERKAITAN: –

Bersatu Sabah Mahu Tanding 45 Kerusi

UMNO Sabah Ingatkan Hajiji Kerusi Tradisi Akan Ditandingi