Umno Goyang; Dua AMT Keluar Parti Dalam Tempoh Kurang 24 Jam

2127
Anifah, kiri, dengan Zahid Hamidi bila Umno masih dalam kerajaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengumuman Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno Mustapha Mohamed keluar dari Umno, seorang lagi AMT Umno mengumumkan keluar dari parti yang memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun itu.

Bekas Menteri Dalam Negeri Anifah Aman mengesahkan keluar dari Umno selepas memikirkan sedalam-dalamnya keputusan berkenaan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, perletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Kimanis dan ahli Umno berkuatkuasa serta-merta. Beliau bersama Umno selama lebih 25 tahun.

Keputusan itu diambil berikutan kegagalan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam menunaikan beberapa perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya berpegang erat kepada apa yang telah saya janjikan sebelum ini iaitu saya akan meletak jawatan sekiranya perjuangan saya untuk rakyat Sabah di bawah payung parti ini tidak dapat diteruskan.

“Perjuangan saya dalam politik selama ini sangat jelas. Saya bertegas mahukan rakyat Sabah mendapat layanan sama rata dan setiap hak mereka dilaksanakan sepenuhnya, tanpa sebarang alasan, jauh sekali dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Ini kerana MA63 ialah titik mula penunuhan sebuah negara persekutuan yang dikenali sebagai Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mahu Kerajaan Pakatan Harapan terus komited dalam melaksanakan janji-janji mereka terutamanya dalam kembalikan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan MA63

Kelmarin, Anifah dalam satu kenyataan memaklumkan beliau akan membantu mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Semasa sambutan Hari Malaysia, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap dihadapan kira-kira 30,000 rakyat Sabah memberitahu bahawa kerajaan akan mengembalikam status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak itu, kerajaan perlu mendapatkan sokongan majoriti 2/3 ahli Dewan Rakyat.

Pada Selasa, Mustpaha atau lebih dikenali sebagai Tok Pa mengumumkan keluar dari Umno selepas lebih 40 tahun bersama parti itu.

Beliau memutuskan keluar dari parti itu selepas mendapati hala tuju Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

“Tidak banyak usaha yang meyakinkam bahawa proses rejuvenasi parti sudah bermula. Selepas bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai ahli Umno selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu,” katanya dalam satu kenyataan.