Beliau berkata, perkara yang penting sekarang adalah untuk bekerja kuat dan memastikan pengundi di Kimanis memilih calon Barisan Nasional (BN).
Katanya, PRK Kimanis amat penting untuk menjadi cerminan kemenangan bagi membuktikan bahawa BN tidak sesekali pupus di bumi Sabah ini.
Beliau yakin dengan sokongan dan calon terbaik yang ditampilkan oleh UMNO, parti itu pasti mampu memacu kemenangan BN.
“Beliau adalah anak tempatan dan profesional. Saya pasti ramai yang mengenali beliau.
“Oleh itu, Pemuda UMNO berjanji akan bekerja sehabis baik bagi memastikan kemenangan calon BN di PRK Kimanis ini,” katanya dalam Program Pelancaran Jentera peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lumat, di sini semalam.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, dalam mengundi perlu ada rasa tanggungjawab dan mesti faham betapa besarnya kewajipan untuk memilih seseorang pemimpin.
“Jangan kita anggap pilih wakil rakyat ini main-main dan perkara biasa.
“Wakil yang kita pilih ini akan menjadi wakil kita di parlimen, diperingkat pusat dan bercakap bagi pihak kita.
“Alhamdulillah UMNO mencalonkan Datuk Mohamad Alamin yang mempunyai pendidikan tinggi, usianya masih muda dan gagah, dan insya-Allah dia dapat menunaikan kewajipan ini.
“Jika di Tanjung Piai, BN mendapat kemenangan dengan majoriti yang besar, takkanlah orang di Kimanis tidak boleh memberikan majoriti besar kepada calon kita ini.
“Beri sokongan walaupun pertandingan dalam pilihan raya sangat menyakitkan, lawan anak beranak, lawan keluarga, cubit paha kanan paha kiri sakit tetapi terpaksa dalam suasana yang begini,” katanya dalam Program Ceramah Perdana dan Kenduri Rakyat di Kampung (Kg) Pimping, Membakut, semalam.
Tambahnya, rakyat perlu memilih pemimpin yang terbaik dan apabila tiba masanya pilihan raya kecil nanti untuk memberikan isyarat bukan sahaja di Parlimen Kimanis tetapi untuk Malaysia seluruhnya.-UMNO Online