UMNO Ambil Tempoh Bertenang Tangani Kemelut Politik Sabah

KOTA KINABALU: UMNO berada pada fasa tempoh bertenang dalam menangani kemelut politik yang berlaku di Sabah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam tempoh bertenang ini, pelbagai kaedah penyelesaian akan disusun bagi memastikan UMNO dapat menangani polemik atau kemelut yang sedang berlaku.

“Kami berpandangan tiada isu yang tidak boleh diselesaikan. Banyak pendekatan-pendekatan yang kita ambil dan juga kaedah yang telah disusun atur.

“Namun, kita faham penyelesaikan ini memerlukan persefahaman dua hala antara BN/UMNO dengan rakan-rakan parti politik lain,” katanya selepas Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO Negeri Sabah, di sini hari ini.

Walau apa juga pendekatan yang diambil, UMNO akan sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat Sabah.

“Saya yakin bahawa keberadaan saya ini adalah satu signal (petanda) bahawa kepmpinan parti peringkat pusat tidak pernah mengambil enteng atau mengambil ringan terhadap perkara-perkara yang sedang berlaku di Sabah. Malah, saya mengambil inisiatif sendiri untuk menangani isu ini.

“Apa yang akan saya lakukan seterusnya akan diketahui dalam tempoh terdekat supaya penyelesaian secara tuntas dapat dicapai oleh kedua-dua belah pihak,” katanya.

Menurut beliau, perbincangan yang dimaksudkan membabitkan UMNO dan juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.

Justeru, beliau berharap tidak ada sebarang interpretasi atau spekulasi mahupun kenyataan yang bercanggah sama ada daripada UMNO mahupun pihak GRS bagi membolehkan titik persamaan dapat dicapai.

Menurut Ahmad Zahid, mereka harus menyantuni perbezaan dalam kalangan kedua-dua belah pihak bagi memastikan jalan penyelesaian terbaik dapat diambil.

“Jika semua pihak mahu cari penyelesaian terbaik, kita boleh duduk secara tertutup dan mencari penyelesaian terbaik dalam apa juga situasi,” katanya.

Mengulas tentang pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah, beliau berkata, UMNO masih berpegang kepada pendirian yang sama iaitu mahu pelaksanaanya kerajaan perpaduan itu diterjemah dengan sebaiknya.

Perkara ini bukan hanya membabitkan hal ehwal dan urusan kerajaan Sabah tetapi juga, ia terkait dengan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

E