Katanya, umat Islam yang mempunyai semangat Islamiyah akan berupaya untuk mencapai kemajuan dalam hidup.
“Penguasaan ilmu tertentu jugalah yang akan mengupayakan umat Islam untuk melakukan amal kebajikan, mengangkat martabat agama, bangsa dan negara.
“Kerajaan sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada mereka yang ingin melaksanakan program ilmiah yang memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya ketika berucap sempena program ceramah umum bertajuk “Waktuku Tinggal Sedikit” di sini hari ini.
Program ceramah itu, yang dianjurkan oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) cawangan Tawau bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri Tanjong Batu, disampaikan oleh selebriti dan penceramah terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi.
Jaujan juga berkata kerajaan menghargai peranan dan sumbangan golongan wanita dalam membentuk masyarakat supaya berilmu dan berdaya maju.
“Tidak dapat disangkal lagi sememangnya semangat juang, kerjasama dan kebertanggungjawaban yang ada pada wanita merupakan kunci untuk mencapai sebuah kejayaan,” katanya.