Uda Sulai Lapor Polis Tindakan Guna Nama Beliau Jual Borang PPR

202
Uda Sulai menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Penampang.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai membuat satu laporan polis terhadap seorang individu yang menggunakan namanya untuk menjual borang penempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Putatan bagi mengaut keuntungan.

Uda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas membuat laporan tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah Penampang baru-baru ini.

Katanya, beliau sebelum ini telah berjumpa dengan beberapa orang yang mendakwa telah ditipu oleh lelaki tersebut yang didakwa menggunakan nama Fadzil Abd.

Menurut Uda, tiada sebarang penjualan borang tersebut dibuat sebaliknya pemohon boleh mengemukakan permohonan PPR itu di pejabat daerah mengikut prosedur biasa, justeru tindakan lelaki itu telah menjejaskan imej beliau sebagai wakil rakyat.

“Saya rasa ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa lebih-lebih lagi berlaku ketika bukan Ramadan dan dalam kita bersedia menyambut aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan tersebut.

Menurut Uda, individu berkenaan mensasarkan golongan miskin dan ibu tunggal yang amat memerlukan rumah dan sanggup membayar untuk mendapatkan borang tersebut.

Beliau turut menyeru agar orang ramai yang menjadi mangsa kepada lelaki tersebut supaya segera membuat laporan polis bagi memastikan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan ke atasnya.

“Saya sendiri buat laporan polis kerana lelaki ini cuba memburuk-burukkan nama saya sebagai wakil rakyat, padahal saya tidak terlibat dan mengetahui langsung dengan kelulusan memberi rumah PPR ini kepada mangsa,” katanya.

Sementara itu, beberapa individu yang mendakwa tertipu telah menularkan gambar lelaki berkenaan di laman sosial Facebook sejak semalam untuk mengingatkan kepada orang ramai.

Berdasarkan ciapan di Facebook milik Amirul Adnan, beberapa individu dikatakan telah membuat bayaran kepada Fadzil antara RM200 hingga RM850 tanpa mengetahui mereka tertipu.