UCSF Komited Bantu Pembangunan Lestari Di Sabah – Naib Canselor

81
Kampus University College Sabah Foundation di Sembulan, Kota Kinabalu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Impian Pengasas Yayasan Sabah Tun Mustapha Datu Harun untuk melihat tertubuhnya universiti dibawah yayasan itu akhirnya terlaksana selepas 50 tahun.

Tahun 2014 menyaksikan satu detik bersejarah buat Kumpulan Yayasan Sabah apabila Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) mula beroperasi.

Penubuhan UCSF itu dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan modal insan berkemahiran di negeri ini.

DR MOHAMED HALEEM MOHAMED RAZI

Naib Canselor UCSF Dr Mohamed Haleem Mohamed Razi berkata, 27 Julai lalu menyaksikan satu lagi sejarah terukir dalam UCSF apabila kumpulan graduan pertama yang melibatkan 274 orang berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang di peringkat ijazah.

Konvokesyen sulung UCSF ini turut disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, yang merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.

Dr Mohamed berkata, komitmen Yayasan Sabah masih tertumpu kepada pembangunan dan pembudayaan manusia melalui komitmennya dalam pendidikan.

Berkongsi tentang pencapaian UCSF, beliau berkata, 71 peratus daripada graduan yang dilahirkan universiti itu sudah mempunyai pekerjaan masing-masing.

“Kejayaan ini amat bermakna buat kita kerana isu pengangguran terutama dalam kalangan graduan bumiputera.

“Atas sebab itu, kita mendedahkan pelajar dengan bidang keusahawanan.

“Hingga kini 13 peratus graduan UCSF berkecimpung dalam bidang keusahawanan. Kejayaan ini memberi keyakinan kepada kita bahawa pendekatan UCSF dalam menerapkan bidang keusahawanan dalam kurikulum akademiknya menunjukkan hasil positif.

IVY PAUL, penerima anugerah Tun Mustapha

“Berdasarkan pemantauan kita, 29 peratus graduan yang dikatakan menganggur kerana tidak bekerja secara tetap, sebenarnya menyediakan perkhidmatan berkala dan menjadi pekerja bebas (freelance).

“Golongan yang menjadi pekerja bebas ini tidak boleh dikategorikan sebagai menganggur kerana mereka memperolehi pendapatan berdasarkan perkhidmatan yang diberikan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mizanina Izzati bin Mazlan, Diploma in Tourism Management.

Berkongsi mengenai aspirasi UCSF yang tampil dengan konsep universiti hijau, Dr Mohamed berkata, konsep universiti hijau itu mencerminkan usaha Yayasan Sabah yang banyak menjurus ke arah konservasi.

Katanya, Yayasan Sabah cukup terkenal dengan usaha konservasi melalui pengwujudan Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kawasan Konservasi Kanyon Imbak.

Maka, penubuhan UCSF ini dilihat sebagai kemuncak kepada usaha Yayasan Sabah dalam menzahirkan komitmennya dalam pembangunan lestari seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan UN (UN Sustainable Development Goals).

Sherrie Ivy Willie,
Diploma in Animation.

Bagi menyokong kekuatan negeri Sabah yang mempunyai biodiversiti dan etnik yang pelbagai, UCSF memperkenalkan dua fakulti yang dapat mengukuhkan pembangunan khazanah di Sabah. Ia adalah Fakulti Sains Tabii & Kelestarian serta Fakulti Pembangunan dan Pengajian Kepelbagaian Budaya.

Dua lagi fakulti yang diwujudkan adalah Fakulti Seni & Multimedia Kreatif serta Fakulti Pengurusan & Keusahawanan.

Beliau berkata, selain program akademik, UCSF turut menghasilkan pelbagai produk yang dibuat oleh pelajar dan pensyarah. Ia termasuk produk batik ‘Ro-Roun’ serta lukisan yang menekankan konsep tempatan yang dipamerkan di Galeri Seni UCSF. Malah, UCSF turut menghasilkan ikon seperti tenggiling, penyu dan ikan yu menggunakan bahan kitar semula.

Mengenai perancangan masa depan untuk mengangkat lagi martabat UCSF, universiti itu akan mula menawarkan program pasca-sarjana, memperluas program pengajian kepada pelajar antarabangsa serta mempelbagaikan program kemasyarakatan yang strategik seperti sains rakyat bermula pada 2020.

Dr Mohamed berkata, UCSF akan terus berpegang kepada visi untuk terus berkembang dan menyerlah sebagai sebuah universiti hijau yang berwibawa dan mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah.

Walau apa juga cabaran dihadapi, warga UCSF dengan sokongan Kerajaan Sabah dan rakyat akan terus berdiri teguh membawa kepada pembangunan Sabah.