TYT Sabah Jadi Sasaran Penghinaan Orang Suruhan Politik

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Institusi Istana Negeri Sabah yang menjadi payung penyatuan rakyat Sabah tercemar disebabkan tindakan biadab Datuk Zulkarnain Mahdar yang membuat sidang akhbar di Putarajaya mengutuk, menghina dan mengeluarkan pelbagai tuduhan terhadap Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Zulkarnain yang sebelum ini banyak melakukan laporan polis bagi pihak Barisan Nasional (BN) turut mengeluarkan kata-kata kesat ‘kepala hotak’ terhadap Tun Juhar atas tindakannya memberi persetujuan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Dalam sidang akhbarnya, Zulkarnain menuduh Tun Juhar membubarkan DUN Sabah kerana telah menerima habuan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal iaitu tempoh perkhidmatan beliau sebagai Yang Dipertua Sabah disambung tanpa had.

Zulkarnain yang turut mengaku bertindak biadab menuduh Tun Juhar memainkan peranan pembentukan Kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 2018 iaitu dengan memujuk wakil rakyat BN melompat parti.

“Tun Juhar sebenarnya telah memujuk wakil rakyat, telah memujuk wakil rakyat BN melompat untuk melompat parti,” katanya di pekarangan Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini.

Terdahulu Zulkarnain membuat laporan kepada SPRM yang meminta agensi itu menyiasat Tun Juhar.

“Salah satu sebab pembubaran ini dibuat kerana dia telah menerima imbuhan tempoh jawatan dia telah ditambah, ini adalah satu imbuhan kepada Shafie keranan Shafie telah membantu dia,” kata Zulkarnain.

Zulkarnain turut menuduh Tun Juhar tidak akan membuka Istana Negeri Sabah kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah jika parti itu menang.

“Sebab pilihan yang ada dalam ‘kepala hotak’ TYT ini hanya Shafie Apdal,” katanya.