Tutup Laluan B2-B6 Elak Pelancong Bolos Di KKIA

MUHAMAD SADE

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Malaysia Airport Berhad (MAB) menutup beberapa laluan di dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi menangani masalah kebolosan pelancong asing di kaunter pemeriksaan imigresen.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Amin, berkata, penutupan laluan itu dilakukan sejak 3 Januari lalu dilihat antara langkah proaktif yang boleh menangani masalah tersebut.

“Hasil siasatan yang dilakukan, beberapa laluan di KKIA saling berhubung antara penerbangan antarabangsa dan domestik

“Malah sebahagian daripadanya tidak berkunci menyebabkan beberapa pelancong ‘bolos’ ketika menaiki penerbangan seterusnya tanpa melalui pemeriksaan imigresen yang sepatutnya,” katanya kepada media ketika diminta mengulas lanjut isu pembolosan pelancong asing di KKIA sebelum ini.

Sehubungan itu, Muhamad Sade berkata, pihak MAB mengambil pendekatan menutup laluan B2 sehingga B6 yang dikesan menjadi laluan utama pembolosan pelancong asing berkenaan.

“Dalam masa sama, kerajaan negeri bercadang untuk membina lapangan terbang baharu bagi menggantikan KKIA yang dilihat tidak mampu menampung kehadiran bilangan pelancong dan penerbangan antarabangsa ketika ini.

“Lapangan terbang bertaraf antarabangsa seharusnya perlu mempunyai laluan berasingan antara penerbangan antarabangsa dan domestik,” katanya.

Menurut Muhamad Sade, pengasingan tuntas itu perlu dalam memastikan setiap pelancong menggunakan laluan yang betul bagi mengelak kekeliruan.

Pada 10 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen Tawau menjatuhkan hukuman penjara 18 hari ke atas empat pelancong wanita warga China selepas didapati bersalah gagal melaporkan diri di kaunter imigresen ketika tiba di KKIA sebelum ke Tawau.

Kemudian, pada 6 Januari lalu, tiga warga Hong Kong terdiri dari dua lelaki dan seorang wanita bertindak melapor diri ke Pejabat JIM Tawau selepas menyedari mereka tidak melalui pemeriksaan imigresen di lapangan terbang sama sebelum ke Tawau.