Tungku ke Arah Menjadi Daerah Penuh

155

LAHAD DATU: Daerah Kecil Tungku yang terletak dalam daerah Lahad Datu bakal diangkat menjadi daerah penuh, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Mohamaddin yang juga Anggota Parlimen Lahad Datu berkata, perkara itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri sebagai pertimbangan.

“Setakat ini, Tungku menuju ke arah pembangunan kemudahan asas dan ini adalah sebagai langkah awal ke arah Tungku menjadi sebuah daerah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pesta Tambur Tungku di Dataran Tungku, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assaffal P Alian berkata Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dilantik sebagai konsultan untuk melaksanakan feasibility study ke arah menaiktaraf daerah kecil Tungku sebagai daerah penuh.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tungku itu berkata, laporan perkara itu akan dibawa ke kabinet negeri.

“Kita juga minta IDS untuk membuat satu rancangan hala tuju pembangunan untuk Tungku bertuju bagi melihat potensi Tungku pada tempoh jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Assaffal berkata Tungku sudah memenuhi kriteria bagi membentuk sebagai daerah penuh.

“Cuma sekarang kita tunggu kabinet untuk meluluskannya,” katanya.