Malah, sudah berulang kali insiden menyentuh hidupan marin berlaku namun, masih ada pengusaha pelancongan bersikap sambil lewa dan membiarkan perbuatan itu dilakukan oleh pelancong yang melakukan aktiviti snorkeling atau menyelam.
Pengerusi Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA), Suzimin Edris berkata, insiden terbaru dimana pelancong yang sedang snorkeling menunggang seekor paus yu (whale shark) di perairan Pulau Sibuan.
Video tular berdurasi 11-saat itu telah mengundang pelbagai reaksi, terutama dalam kalangan pencinta alam sekitar.
Beliau berkata, kejadian sebegitu tidak seharusnya berlaku jika pemandu pelancong menasihatkan pelancong agar tidak menyentuh serta menunggang hidupan marin.
Tindakan sebegitu bukan hanya melanggar undang-undang yang ditetapkan di kawasan Taman-Taman Sabah malah, boleh mendatangkan mudarat kepada hidupan marin.
Katanya, SPDA telah berulang kali mengeluarkan kenyataaan agar setiap pengusaha pelancongan mengambil pemandu pelancong yang terlatih dan berkelayakan bagi mengelak insiden seperti ini berlaku.
“Pengusaha perlu melatih kakitangan mereka dengan betul agar mereka boleh mendidik pelancong agar tidak sesuka hati menyentuh hidupan marin ketika melakukan sebarang aktiviti air seperti snorkeling mahupun menyelam,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pemandu bot pelancongan agar lebih prihatin dan tidak membuang jangkar bot di kawasan terumbu karang. Tindakan sebegitu akan menyebabkan kerosakan pada terumbu karang yang begitu sensitif terhadap pergerakan dan sentuhan.
Sementara itu, Pengurus Program Reef Check Malaysia, Adzmin Fatta berkata, mereka akan menganjurkan latihan kepada pemandu pelancong bagi aktiviti snorkeling agar lebih sensitif dengan persekitaran marin pada 7 hingga 10 Disember ini.
Menerusi program itu, diharap lebih ramai pemandu pelancong dapat dilatih dengan betul mengenai etika ketika membawa pelancong melakukan aktiviti snorkeling.
Jelas beliau, Reef Check juga dalam proses mengenal pasti pengusaha pelancongan yang layak mendapat pengiktirafan ‘Green Fins Certification’.