Tunai MA63, Gerakan Tuntut Kemerdekaan Sabah Semakin Lantang – Azis Jamman

AZIS JAMMAN

KOTA KINABALU: Tindakan Putrajaya berdolak dalik menunaikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan mendorong Gerakan Menuntut Kemerdekaan Sabah semakin lantang bersuara.

Jika kerajaan persekutuan masih ingin menganak-tirikan Sabah jangan hairan sekiranya ada rakyat yang bangkit menuntut mendesak Sabah keluar dari Malaysia.

Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) berkata, ketika ini suara-suara mendesak keluar Malaysia semakin lantang disuarakan di Sabah dan Sarawak. Malah, baru-baru ini ada video menunjukkkan konvoi ‘Sarawak keluar Malaysia’ diadakan di Sarawak.

“Setelah lebih 58 tahun Malaysia dibentuk, kerajaan masih ingin menipu dan menganaktirikan Sabah. Jangan pandang mudah kerana jika layanan buruk Putrajaya terhadap MA63 berterusan, jangan salahkan kami jika gerakan memerdekakan Sabah dari penjajahan Putrajaya semakin lantang.

“Kami bermula dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) maka, kami juga mengakhiri perjuangan tentang MA63 ini dengan PBB,” katanya semasa perbahasan Bajet 2022, di sidang Parlimen hari ini.

Ketua Wira Warisan ini berkata, sekiranya terma-terma di dalam MA63 di langgar maka, pada dasarnya perjanjian itu boleh terbatal.

“Jika MA63 terbatal, suka saya ingatkan Putrajaya bahawa Malaysia tidak wujud tanpa penglibatan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mohd Azis berkata, sekiranya kerajaan Persekutuan tidak setuju dengan terma MA63, kenapa perjanjian itu ditandatangani.

“Saya pasti jika bapa-bapa kemerdekaan tahu terma dalam perjanjian ini tidak akan ditunaikan, saya yakin mereka juga tidak ingin menandatangani perjanjian ini dan membentuk Malaysia.

“Jika Singapura boleh berdiri atas kaki mereka sendiri malah diantara negara yang kaya dirantau ini, jika Brunei Darussalam boleh berdiri atas kaki mereka walaupun mereka hanya sekecil-kecil negara, saya yakin dengan sumber yang ada di Sabah, negeri ini boleh berdiri sendiri,” katanya.