Tun Mahathir Mula Tugas, Istana Negara Bakal Sibuk Petang Ini

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri interim.

Bekas perdana menteri ketujuh itu memasuki Perdana Putra di sini, yang menempatkan antaranya Pejabat Perdana Menteri, bagi mengendalikan urusan pentadbiran pada kira-kira 9.29 pagi.

Di samping itu, Istana Negara juga dijangka sibuk dengan kehadiran Ahli Parlimen menjelang 2.30 petang nanti. 

Berikut adalah kronologinya:

9.29 pagi: Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad menaiki kereta rasmi plat Malaysia 2020 tiba di bangunan Perdana Putra. 

10.24 pagi: Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan menaiki kereta Vellfire memasuki bangunan Perdana Putra.

10.30 pagi: Sebuah kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam dipercayai Ketua Hakim Negara,Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat memasuki Istana Negara melalui Pintu 2.

10.35 pagi: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat keluar dari kediamannya di Segambut.

10.43 pagi: Kereta dengan nombor plat G1M6 dipercayai kenderaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir keluar dari pintu A kediaman Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad.

10.47 pagi: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (UMNO) tiba di Istana Negara melalui Pintu 2.

10.50 pagi: Sebuah kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam dengan plat Peguam Negara memasuki Istana Negara melalui Pintu 2. 

10.57 pagi: Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dari Bersatu memasuki Istana Negara melalui pintu 2.

11.18 pagi: Kereta membawa Tan Sri Muhyiddin Yassin memasuki bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

11.25 pagi: Wan Azizah keluar dari bangunan Perdana Putra selepas hampir sejam memasuki bangunan itu. Difahamkan anak beliau Nurul Izzah turut kelihatan di kereta berasingan.

11.30 pagi: Ahli Parlimen Lumut Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dan  Senator Liew Chin Tong keluar dari rumah kediaman Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

11.38 pagi: Kenderaan membawa Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilihat keluar dari bangunan Perdana Putra. 

11.39 pagi: Kenderaan membawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat memasuki bangunan Perdana Putra. 

11.47 pagi: Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik yang tiba di Istana Negara menerusi pintu 2 dan sempat berhenti untuk menyampaikan kotak minuman kepada petugas media.