Tun M Menjawab Kalabakan: GST Tidak Akan Dilaksanakan Kembali

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan tidak akan melaksanakan kembali Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana sistem percukaian semasa zaman Barisan Nasional (BN) itu mendapat rintihan rakyat dan telah ditolak.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan kini telah berjalan dengan baik cuma perlu penambahbaikan demi memantapkan lagi pelaksanaannya.

Menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Dr. Mahathir berkata, sistem percukaian negara tidak boleh diubah terlalu kerap kerana akan mengurangkan keyakinan pelabur serta memberi imej yang tidak baik kepada negara.

MA’MUN SULAIMAN

“Sebuah kerajaan perlu mengenakan cukai untuk mengumpul dana yang diperlukan untuk pentadbiran negara, banyak jenis cukai yang diperkenalkan, cukai GST ini diperkenalkan dulu mendapat banyak rintihan daripada rakyat kerana kerap kali mereka membayar cukai dua kali dan menunggu bayaran pulangan cukai tidak sampai-sampai.

“Sebab itulah kita berpendapat kita perlu kembalikan SST dan ini sedang berjalan dengan baik serta kita perlu memperbaiki lagi pelaksanaan cukai ini sebab itu tidak ada sebabnya yang kita akan kembali kepada cukai yang ditolak rakyat dulu,” katanya.

Terdahulu, Ma’mun dalam soalannya meminta Perdana Menteri menjelaskan apa pendirian kerajaan selepas isu pelaksanaan kembali GST menimbulkan pelbagai reaksi rakyat diakar umbi sejak akhir-akhir ini.

Ini berikutan kenyataan Dr. Mahathir sendiri pada 3 Oktober lalu yang berkata, kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan GST jika itu kehendak rakyat kebanyakan.

Dr. Mahathir menegaskan, sejak memerintah, Pakatan Harapan (PH) bertekad mengurus tadbir negara dengan lebih baik, justeru pelaksanaan GST yang menyusahkan rakyat telah digantikan dengan SST.

“Ketika PH ambil alih Putrajaya selepas menang pilihan raya umum lalu, kerajaan yakin dengan keupayaan membina semula negara ke arah Malaysia baharu berdasarkan keadilan, sistem tadbir urus baik dan berlandaskan undang-undang, kerajaan sebelumnya melaksanakan GST, namun pelaksanaan ini telah membebankan orang ramai terutama akibat daripada pembayaran balik cukai input kepada perniagaan.

“Berhubung cadangan pelaksanaan semula GST, hanya memerlukan kajian lebih lanjut penelitian perlu dibuat terutama ke atas impak kesan kenaikan harga kepada pengguna, kadar inflasi dan pertambahan kos pematuhan kepada peniaga kerana terdapat keperluan untuk mengubah sistem perkomputeran serta latihan semula kepada kakitangan di samping bayaran balik cukai,” kata Dr. Mahathir.