Tun Juhar, Shafie Apdal Hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-250

Ketua Menteri Sabah membincang sesuatu dengan Tun Juhar, kanan, pada mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini (Rabu) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-250 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat yang berlangsung sehari itu dihadiri semua Raja Melayu kecuali Pahang, Johor, Kedah dan Kelantan.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah manakala Johor diwakili Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Kedah diwakili Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Kelantan diwakili Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra.

Shafie (dua dari kanan) dengan Lim Guan Eng di Pejabat Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Rabu. Bersama dengan Shafie ialah Stephen Wong, Datuk Dr Yusof Yacob dan Datuk Peter Anthony.

Mesyuarat yang bermula jam 10.30 pagi itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah,Tun (Dr) Juhar Mahiruddin serta TYT Pulau Pinang, Melaka, dan Sarawak.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri, termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Hj Apdal.

Pada sebelah petang, Shafie membuat kunjungan hormat kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dipejabatnya di Putrajaya.

Beliau diiringi oleh Datuk Stephen Wong, Menteri Kesihatan Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Dr Yusof Yacob, Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri, dan Datuk Peter Anthony, Menteri Pembangunan Infrastruktur.