Tun Juhar Rasai Pengalaman Bermain FootGolf

97

KOTA KINABALU: Rancak diperkatakan oleh peminat-peminat sukan sekitar ibu negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-pertua Negeri Sabah Tun Juhar bin Datuk Mahiruddin juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba permainan `FootGolf’ di Sutera Harbour Golf and Country Club (SHGCC), di sini pada Selasa.

Kehadiran Tun Juhar diiringi bersama oleh Datuk Eddie Abdullah, Abdul Razak Baharum dan Dahil Masdik untuk merasai keseronokan sukan gabungan bola sepak dan golf itu, dimana bola golf digantikan dengan bola sepak dan dimainkan di atas lapangan golf.

Sama seperti cara bermain golf, pemainan dimulakan dengan menyepak bola dari jarak tertentu, Par 3, Par 4 atau Par 5, menuju kawasan `green’ untuk di masukkan ke dalam lubang, di mana pemain yang mencatat jumlah tendangan terendah akan dikira selaku pemenang.

Nampak mudah, tetapi sebenarnya sukan ini memerlukan banyak kemahiran dan pengalaman bermain kerana seperti pemainan golf sebenar, pemain footgolf juga perlu mengetahui selok-belok lapangan yang akan diharungi termasuk perangkap air (pond), perangkap pasir (bunker) dan alunan permukaan `green’.

Sukan yang masih dalam pencubaan lapangan itu dijangka akan dilancarkan secara rasmi oleh SHGCC bermula 1 Oktober, di mana ianya terbuka untuk keahlian kelab dan masyarakat mengikut kadar bayaran tertentu.