Tumpahan Gam Cemar Sungai Bariawa

KENINGAU: Kemalangan yang membabitkan sebuah lori di simpang Bariawa mengakibatkan muatan bahan gam yang dibawa tertumpah ke dalam aliran sungai kecil di Kampung Bariawa.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superitendan Nor Rafidah Kasim berkata, kemalangan berkenaan berlaku kira-kira jam 11.40 malam kelmarin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, lori jenis treler shacman yang datang dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kilang Playwood Kosinar, Sook Keningau hilang kawalan semasa menuruni bukit lalu terbabas ke bahu kiri dan terlanggar tebing bukit berhampiran simpang Jalan Bariawa.

Walau bagaimanapun, pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan namun, muatan bahan gam yang dibawa pecah lalu tertumpah ke kawasan aliran sungai kecil di Kampung Bariawa.

Susulan itu, sepasukan anggota daripada Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melawat tempat kejadian dan mengambil sampel air sungai untuk ujian.

Laporan lanjut diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang aktiviti di sungai yang disyaki telah tercemar itu.

Kes disiasat di bawah rule 10 ln 166/59.