Tumpahan Bahan Kimia Di Sungai Kampung Rugading

TUARAN: Kandungan air Sungai Kampung Rugading dikhuatiri tercemar akibat tumpahan bahan kimia di kawasan sungai di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Qawie Abd Gapar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.34 petang.

Katanya sepasukan 4 pegawai dan anggota dari BBP Tuaran dikejarkan ke lokasi yang terletak 10 kilometer dari balai.

Turut membantu sepasukan 4 pegawai dan anggota dari BBP Kota Kinabalu.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemantauan selepas menerima laporan tumpahan bahan kimia terbabit.

“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bomba yang tiba di lokasi mengambil sampel air sungai dan mendapati bacaan adalah PH 6.8 atau neutral,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata terdapat bahan kimia yang dikesan di dalam kandungan air sungai terbabit berdasarkan ujian oleh Hazmat.

“Terdapat ‘schedule waste’ atau bahan sisa buangan berjadual dalam larutan air sungai berkenaan.

“Operasi selanjutnya akan dijalankan bersama Jabatan Kimia dan JAS bagi mengenal pasti kandungan sebenar bahan kimia dalam air sungai terbabit,” katanya.