TUKUN TIRUAN ‘UNJAM BULUH’ DILABUHKAN DI PERAIRAN LABUAN

LABUAN: Sebanyak 14 tukun tiruan terdiri daripada Unjang Buluh dan daun kelapa bernilai RM41,000 dilabuhkan berdekatan perairan Kampung Tanjung Aru dan Lubok Temiang bagi meningkatkan tangkapan ikan nelayan di dua kampung berkenaan.

Projek di bawah peruntukan Pengurusan Sumber Ikan Lestari itu adalah kerjasama antara Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan.

Menurut LKIM dalam satu kenyataan hari ini dua kampung tersebut dipilih selepas mengambil kira sumbangan nelayan dalam jumlah pendaratan ikan Labuan tahun lepas iaitu 7.6 peratus atau 226,984 kilogram yang bernilai RM1.6 juta.

Tukun tiruan berkenaan adalah bagi membantu memperkayakan hidupan laut di perairan kampung berkenaan, sekali gus mewujudkan lokasi penangkapan tambahan kepada nelayan.