Tukar Sampah Melalui Bank Makanan Dilaksana Di Sim Sim

SANDAKAN: Program menukar sampah kepada bantuan pek makanan dilihat satu lagi usaha yang mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk terjejas akibat pandemik Covid-19 di negeri ini.

Penglibatan penduduk Sim-Sim dalam menjayakan program ini membuktikan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan ketika pandemik ini semakin tinggi.

Program Bank Makanan ini merupakan usaha yang dilaksana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat.

Pelaksanaan program sebegini bukan hanya membantu penduduk terhindar daripada pandemik tetapi juga dapat mengelakkan berlaku wabak denggi dan kolera.

ADUN Tangjong Papat, Datuk Frankie Poon berkata, dalam usaha membantu penduduk Sim-Sim yang terjejas akibat pandemik ini, program ini juga dapat mendidik masyarakat agar tidak membuang sampah terus ke dalam laut.

Setiap penduduk tempatan berumur 12 tahun ke atas boleh melakukan sekali penukaran setiap hari dengan nilai makanan RM5 dari 10 pagi hingga 3 petang.

Frankie turut berterima kasih kepada Gereja Anglican yang memberikan kebenaran kepada pihaknya untuk menjalankan program ini di Pusat Jagaan Anglican yang bertempat di Lorong H, Rancangan Rumah Murah Sim Sim.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan kepada Bank Makanan (Food Bank) ini boleh berhubung dengan Pusat Khidmat ADUN DAP Tanjong Papat di talian 012 827 6715.