Tujuh Suspek Pengedar Dadah Ditahan Di Labuan

Zaini (tengah) menunjukkan gambar-gambar bot yang dirampas disyaki digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Tujuh lelaki ditahan manakala lapan bot kaca gentian serta 25 enjin sangkut bernilai RM1.15 juta dirampas selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di dua lokasi berasingan di Labuan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, bertindak atas maklumat berkenaan aktiviti penyeludupan dadah, sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menahan tiga lelaki tempatan di tepi jalan berhadapan Simpang Kemboja, kira-kira pukul 9 pagi, Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas tiga lelaki itu menemui dua plastik jernih berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu seberat 75.51 gram.

“Berpandukan maklumat, sepasukan polis membuat satu lagi serbuan di kawasan rumah kongsi di Sungai Keling dan menahan empat lelaki warga asing serta merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 100.08 gram.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM17,500,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, hasil serbuan itu juga, polis menyita sebanyak lapan bot jenis kaca gentian dan 25 enjin sangkut jenama Yamaha 200 kuasa kuda (hp).

“Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan kedua, polis menyita lapan bot berserta 25 enjin sangkut disyaki digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Semua tangkapan berusia 36 hingga 53 tahun dan semua barangan rampasan dibawa ke IPD Labuan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.