Tujuh Nelayan Indonesia Ditangkap Berhampiran Perairan Labuan

93

LABUAN: Polis Marin Labuan merampas sebuah pukat tunda, yang berdaftar di Kota Kinabalu, beserta hasil tangkapan laut sebanyak 100 kilogram dan menahan tujuh nelayan Indonesia di atas bot itu kerana menangkap ikan secara haram pada pagi Selasa.

Menurut laporan Bernama hari ini, penangkapan dan rampasan itu dibuat semasa operasi “Op Gelora Khas’ di sekitar perairan Labuan.

Komander Wilayah 4 Negeri, Penolong Pesuruhjaya, Mohamad Pajeri Ali berkata, penangkapan nelayan berkenaan termasuk kapten berusia 51 tahun itu dibuat selepas mereka didapati menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram pada 9.30 pagi di perairan Malaysia berdekatan Jahat Shoal.

Beliau berkata, pasukan polis marin mendapati mereka menangkap ikan secara haram sekurang-kurangnya enam batu nautika dari pantai dan mereka menangkap ikan menggunakan keroncong mata pukat tunda berukuran kurang 38 mm.

“Kami merampas bot itu dengan enjin dan peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan mereka semasa penangkapan itu, manakala nelayan berkenaan (semuanya mempunyai dokumen perjalanan yang sah) masih lagi ditahan,” katanya kepada Bernama.

Kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Perikanan dan disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.