Tuduhan Warisan Keluarkan Kad Pengenalan Kepada PATI, Tidak Benar, Kenyataan Maximus Buktikan Perkara Sebenar – Shafie

PAPAR: Tuduhan kononnya parti Warisan (Warisan) mengeluarkan kad pengenalan kepada rakyat asing adalah tidak benar dan hanya fitnah semata-mata kata Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie berkata kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah, (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengenai pembabitan sebuah parti komponen Barisan Nasional dalam pengeluaran kad pengenalan kepada rakyat asing untuk meraih undi, membuktikan perkara yang sebenarnya, sekaligus menepis dan melenyapkan segala dakwaan dan tohmahan yang dilemparkan ke atas Warisan selama ini kononnya parti itu mengeluarkan kad pengenalan kepada rakyat asing di Sabah.

“Selama ini kita ditomah, hari ini Datuk Max (Maximus Ongkili) dah nyatakan bahawa ada parti dalam komponen Barisan Nasional yang melakukannya.

“Sebab itu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) saya tahu, dalam RCI tu, pun disebutkan siapa siapa dia disitu, ada RCI dan itupun diakui oleh Datuk Salleh (bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak) sehingga dia boleh mengatakan bahawa Maximus tidak mengenang jasa, maknanya sudah ada kebenaran dia bahawa IC tu dikeluarkan oleh mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata Warisan tidak boleh dikaitkan dengan dakwaan pengeluaran kad pengenalan kepada rakyat asing di Sabah kerana kenyataan Dr Maximus sendiri yang berdasarkan hasil siasatan RCI, telah membuktikan perkara sebenar.

“Jadi bila mereka nyatakan bahawa Warisan ialah kerajaan yang mengeluarkan kad pengenalan, IC ni, tidak benar ya. Itu hanya fitnah semata-mata,” tegasnya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas program santai beramah mesra bersama Warisan di Muara Pantai Kenangan, Bongawan, petang tadi.