Tuduhan Palsu, Kerajaan Tidak Pernah Luluskan 50,000 Ekar Tanah

301
Gambar hiasan saja

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Jabatan Tanah dan Ukur Sabah menafikan tuduhan sebuah blog kononnya kerajaan negeri bakal meluluskan seluas 20,000 hektar (50,000 ekar) tanah adat di daerah Nabawan kepada sebuah syarikat untuk tujuan penanaman getah dan kelapa sawit.

Pengarahnya, Datuk Safar Untong berkata, gambar yang didedahkan blog tersebut sebenarnya notis makluman untuk pemberitahuan umum terhadap permohonan tanah seluas 20 hektar (50 ekar) yang telah dipohon.

Safar berkata, permohonan tersebut tidak pernah diluluskan seperti didakwa, sebaliknya kerajaan mempunyai pelan sendiri untuk membangunkannya demi kepentingan rakyat.

“Keluasan permohonan tanah yang dipohon melalui PT2007150274 adalah 50 ekar sahaja dan bukannya 50,000 ekar, sistem komputer Jabatan Tanah dan Ukur telah diset untuk menetapkan angka keluasan kepada tiga titik perpuluhan iaitu dalam kes ini 50.000 ekar.

SAFAR UNTONG

“Permohonan tanah ini telah didaftarkan di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Nabawan pada 7 Januari 2007.

“Permohonan tanah ini tidak pernah diluluskan dan tiada sebarang surat kelulusan dikeluarkan oleh kerajaan negeri,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, sebuah blog telah menyebarkan imej permohonan tanah berkenaan dengan tuduhan kononnya kerajaan negeri bakal memberi kelulusan kepada permohonan tanah tersebut.

Blog tersebut turut memaparkan imej Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang bertujuan memburuk-burukkan pemimpin nombor satu Sabah itu.

Mengulas lanjut, Safar berkata, imej surat itu sebenarnya notis mengikut Seksyen 13, Ordinan Tanah Negeri Sabah yang wajib dipamerkan di papan kenyataan Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Nabawan.

“Notis ini merupakan keperluan mandatori dalam proses permohonan tanah yang bertujuan untuk membolehkan mana-mana Anak Negeri yang mempunyai hak adat membuat bantahan dan tuntutan di kawasan tanah yang dipohon bermula 29 April 2019 hingga 28 May 2019,” katanya.

Tambah beliau, kawasan tersebut pernah dirancang dan dipohon oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah untuk projek agropolitan pada tahun 2010.

Sehubungan itu jelasnya, Jabatan Tanah dan Ukur akan membatalkan semua permohonan tanah di situ ini bagi membolehkan kerajaan negeri merancang tanah kerajaan untuk pembangunan sosio ekonomi masyarakat setempat.