Tubuh JPKKP Ceroboh Hak Autonomi Sabah

Dari kiri, Joel Deukin, Rowindy Lawrence dan Carlye Lajimin.

KOTA KINABALU: Langkah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Sabah disifatkan sebagai satu bentuk pencerobohan terhadap hak autonomi Sabah dalam pengurusan komuniti kampung.

Pemimpin di peringkat akar umbi sependapat dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick bahawa tiada keperluan mewujudkan JPKKP di negeri ini.

Ketua Generasi Muda (GEM) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud, Joel Deukin menyifatkan cadangan wujudkan JPKKP di Sabah adalah suatu bentuk strategi ‘pecah dan perintah’.

Katanya, JPKKP dilihat lebih bersifat sengaja memberi tekanan politik kepada kerajaan negeri berdasarkan keadaan arus politik persekutuan masa kini.

“Cadangan ini bagaikan memperkecilkan kemampuan pimpinan kerajaan negeri terutama pemimpin yang dipertanggungjawabkan dalam skop pengurusan komuniti kampung.

“Sepatutnya melalui kerjasama kerajaan kepada kerajaan (G2G), persekutuan harus memperakui kemampuan kerajaan negeri dalam mentadbir negeri. Terutama dalam soal autonomi, dimana hak untuk mentadbir negeri sudah lama diperjuangkan.

“Bagaimana persekutuan selama ini berjanji akan menyerahkan autonomi secara berperingkat kepada kerajaan negeri sedangkan dalam masa yang sama, bercadang untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang mempunyai fungsi sama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang sudah dipersetujui dalam kabinet negeri,” katanya.

Joel turut mempersoalkan sama ada janji itu ikhlas atau sekadar retorik dan hanya bertujuan untuk ‘memusingkan kepala’ beberapa pemimpin sasaran mereka dalam meraih sokongan dalam kerajaan persekutuan.

“Jika benar cadangan penubuhan JPKKP diteruskan, maka ianya adalah satu langkah kebelakang dalam mencorak keutuhan kepimpinan serta contengan dalam perjuangan mengembalikan autonomi kepada kerajaan negeri,” katanya.

Turut berkongsi pendapat sama, Presiden Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) Rowindy Lawrence.

Katanya, badan pentadbiran kampung merupakan urusan kerajaan negeri dan sebarang cadangan pengwujudan badan pentadbiran persekutuan seperti JPKKP merupakan pencerobohan autonomi.

“Kerajaan Persekutuan harus menghormati kuasa autonomi kerajaan negeri Sabah termasuk dari segi pelantikan pentadbiran kampung,” katanya.

Dengan itu, Rowindy berkata, kerajaan persekutuan tidak perlu melibatkan negeri Sabah dalam penjenamaan semula MPKK kepada JPKKP.

“Pengwujudan JPKKP di Sabah seolah-olah hanya bertujuan untuk mengukuhkan politik mereka di sini dan ia memperlihatkan bahawa mereka tidak menghormati kuasa autonomi kerajaan Sabah seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegasnya.

Sementara itu, Setiausaha Politik KPLB, Carlye Lajimin menyifatkan, JPKKP sebagai ‘kenderaan’ yang digunakan oleh kerajaan persekutuan untuk melanggar hak autonomi kerajaan negeri Sabah dan secara langsung menafikan kebolehan dan keupayaan pentadbiran pemimpin-pemimpin tempatan.

“Ini amat menyedihkan… Justeru kita berharap agar rakyat Sabah teruskan solidariti perpaduan dan kebersatuan bersama Kerajan Negeri dalam menghadapi apa saja bentuk tekanan dari Kerajaan Persekutuan,” katanya.