TTS Mulakan Evaluasi Kerosakan Terumbu Karang Akibat Kapal Terkandas Hari Ini

50

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah (TTS) akan melakukan selaman evaluasi bermula hari ini (Khamis) bagi menyiasat jumlah kerosakan terumbu karang yang disebabkan oleh kapal kargo MV Lewang yang terkandas di Pulau Kalampunian, Kudat pada Ahad.

Pengarah TTS Dr Jamili Nais berkata, pihak TTS memandang serius kejadian itu yang mungkin mendatangkan kerosakan ke atas terumbu karang yang dalam kawasan Taman Marin (Tun Mustapha). Maka, kes itu akan disiasat dibawah Enakmen Taman-Taman 1984 dan tindakan selanjutnya akan diambil setelah siasatan dijalankan.

JAMILI NAIS

Beliau berkata, sekiranya syarikat yang berdaftar di Sarawak itu didapati bersalah, syarikat itu akan dipertanggungjawabkan atas kerosakan yang berlaku.

“Dengan itu, kawasan perairan yang terlibat akan ditutup kepada orang awam bagi memudahkan kerja-kerja siasatan dijalankan. Kawasan terlibat telah dipasang pelampung sebagai penanda kawasan yang terjejas bagi memudahkan kawalan dan penilaian kerosakan.

“Pihak TTS akan menilai kos kerosakan dan kerja-kerja restorasi yang perlu dijalankan kelak. Kami akan memastikan restorasi karang di kawasan itu akan dilaksanakan dengan melibatkan pihak berkepentingan lain termasuk WWF-Malaysia, pengusaha pelancongan di Tip of Borneo dan badan bukan kerajaan (NGO) lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Jamili berkata, kapal kargo itu telah ditunda keluar oleh ejen syarikat berkenaan pada pagi Rabu untuk dibawa ke kawasan perairan lebih dalam.

Namun, TTS tidak membenarkan kapal itu belayar keluar sehingga keperluan dokumentasi bagi tujuan siasatan kes berkenaan selesai dijalankan.

Katanya, laporan mengenai insiden itu dibuat pada hari kejadian itu berlaku (8 September) dan pasukan penyiasat TTS terus bergegas ke lokasi kejadian untuk memulakan siasatan dan perbincangan.

TTS juga telah menempatkan sebuah bot berhampiran kawasan berkenaan bagi memantau kawasan itu sepanjang masa sehingga sekarang.

BERITA BERKAITAN : –

Kapal Terkandas Di Kepulauan Kalampunian Rosakkan Batu Karang

Kapal Dagang Terkandas Di Pulau Kalampunian, Kudat