TSMC, Hospital Pakar Pertama Di Pantai Timur Sabah

Kour (dua kiri) mendengar taklimat De Shari (kiri) mengenai peralatan bilik bedah di TSMC.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Tawau terus mengorak langkah ke hadapan dengan pembukaan Tawau Specialist Medical Center (TSMC), hospital pakar pertama seumpamanya di pantai Timur Sabah.

Pengerusi TSMC Datuk Kour Nam Ngum, berkata, hospital yang menelan belanja sebanyak RM 125 juta itu dilihat mampu menjadikan daerah ini berkembang sebagai pusat pelancongan perubatan pada masa akan datang.

“Dengan perkembangan sekitar Tawau, pihak kami yakin TSMC mampu menarik kehadiran pesakit bukan saja dalam negeri tetapi negara jiran khususnya Indonesia dan Filipina.

“Menjadi satu keperluan bagi Tawau untuk mempunyai hospital pakar swasta sendiri,” katanya sempena pembukaan Tawau Specialist Medical Center (TSMC), hari ini.

Tambah Kour, dengan pembukaan operasi TSMC, orang ramai dari pantai Timur Sabah, Indonesia dan Filipina tidak lagi perlu menempuh perjalanan yang jauh seperti ke Kuala Lumpur atau Malaysia.

“Dalam pada itu, hospital ini mampu memuatkan pesakit sehingga hampir 200 orang di wad dalam satu mana.

“Seramai 29 tenaga atau doktor yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bertugas di sini bagi merawat pesakit,” katanya.

Sementara itu, Perunding Perubatan TSMC Dr Shari Nor berkata, antara kepakaran rawatan yang disediakan adalah pakar pembedahan sakit puan, otopendik, bedah am, pembedahan plastik, jantung dan sebagainya.

“Selain pakar perubatan, TSMC turut menyediakan kemudahan rawatan kecemasan dan pesakit luar yang beroperasi 24 jam sehari.

“Dalam masa sama, TSMC dilengkapi dua bilik bedah, unit rawatan rapi, nurseri dan sebagainya dengan pelbagai alat perubatan berteknologi tinggi,” katanya.