Trend Kes COVID-19 Kembali Meningkat

KOTA KINABALU: Sabah kembali menunjukkan trend peningkatan kes Covid-19 selama dua hari berturut-turut dengan 573 kes positif dilaporkan hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, berlaku peningkatan kes di beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu yang mencatatkan 85 kes hari ini.

Daerah yang mencatatkan kes yang tinggi termasuk Beaufort 60 kes, Tuaran 53 kes dan Kota Marudu 40 kes.

Jika dilihat kes hari ini, 13 daerah mencatatkan peningkatan kes manakala, 12 daerah mencatatkan penurunan kes dan dua daerah kekal sebagaimana catatan semalam.

“Sebanyak 23 daerah mencatatkan kes dibawah paras 40 kes dan 4 daerah mencatatkan kes di atas paras 40 kes.

“Kes yang berpunca daripada saringan bergejala yang sinonim dengan kes-kes sporadik adalah tinggi dan sebanyak 239 kes atau 41.7 peratus dikesan daripada saingan bergejala.

“Malah ada daerah yg mencatatkan jumlah kes dalam kategori ini melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di daerah berkenaan. Kes-kes ini sering dikaitkan dengan kegagalan atau kealpaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah kes hari ini, 344 kes atau 60 peratus adalah kes-kes yang berlaku dan didaftarkan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Selebihnya iaitu 39.8 peratus lagi merupakan kes yang didaftarkan antara dua hingga lima hari setelah keputusan ujian saringan diperoleh. Hanya satu kes pada hari ini didaftar lewat melebihi lima hari.