‘Travel Bubble’ Beri Ruang Industri Pelancongan Bernafas

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Kebenaran melaksana gelembung perjalanan (travel bubble) membuka ruang untuk industri pelancongan tempatan kembali ‘bernafas’.

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini masih tidak membenarkan pelancong luar masuk ke Sabah.

ADRIAN

Atas sebab itu, industri pelancongan hanya bergantung kepada sokongan pelancong tempatan yang dibenarkan melancong mengikut zon.

Maka, kebenaran melaksana gelembung perjalanan adalah peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan oleh industri pelancongan bagi menerima kemasukan pelancong dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Itulah peluang yang dimanfaatkan oleh [email protected] Island Resort & Spa yang kini menawarkan pakej promosi menarik bagi pelancong tempatan.

Pengurus Besar The Magellan Sutera Resort merangkap pengurus bertanggungjawab di [email protected] Island Resort & Spa, Adrian De Rozario berkata, pelaksanaan gelembung perjalanan adalah cara baharu untuk melancong ketika pandemik Covid-19 masih melanda dunia.

“Apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah memberi kefahaman dan memaklumkan lebih awal kepada pelancong tentang SOP yang perlu dipatuhi antara dua negara atau negeri sekiranya aktiviti rentas negeri mula dibenarkan.

“Usaha kerajaan menetapkan SOP berkaitan pelancongan melalui travel bubble ini sangat baik dan pelancong perlu tahu tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan antara dua kawasan terlibat,” katanya ketika ditemui sempena pelancaran Premium Chalet [email protected] Island Resort & Spa, di sini semalam.

Adrian berkata, sejak gelembung perjalanan dibenarkan antara Sutera Harbour Resort & Spa Kota Kinabalu ke [email protected], kadar penginapan mereka melebihi 60 peratus dan pada hujung minggu ia boleh mencecah 90 peratus kerana perlu mematuhi kapasiti bot yang dibenarkan.

Menurutnya, tiada isu dalam mematuhi SOP kerana semua pihak memberi kerjasama yang baik. Malah, pelancong tempatan sendiri memang sudah lama ingin melancong.

Katanya, mereka amat menghargai kepercayaan diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dalam melaksana gelembung perjalanan itu.

Tambahnya, mereka juga telah melaksana percubaan bagi melihat keberkesanan travel bubble sebelum mengemukakan permohonan bagi melaksanakannya kepada kementerian tersebut.

[email protected] Island Resort & Spa mula dibuka sejak 2018 dan menempatkan sebanyak 70 chalet penginapan termasuk 40 chalet premium di Pulau Mantanani Besar.