Tragedi Memancing, Lelaki Ditemukan Lemas

Oleh SYAFIA AMIN

SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan lemas ketika memancing di perairan Pulau Semayang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi tadi, mangsa, Muhamad Alisan Muhamat, 31, ditemukan lemas pada radius 200 meter dari Kampung Semayang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.29 pagi tadi.

Sepasukan 19 pegawai dan anggota daripada Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Marin dikerahkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan empat buah bot.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan keluar memancing awal pagi tadi di perairan Pulau Bai sebelum dilaporkan hilang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan bersama penduduk kampung pada radius 200 meter dari Kampung Semayang menemukan mangsa lemas di perairan Pulau Semayang.

Mayat mangsa dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10 pagi.