Tragedi di Sungai Moyog : Mangsa Kedua Ditemui, Operasi Mencari Ditamatkan

PENAMPANG : Mangsa kedua dan terakhir insiden dua remaja hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Kampung Pogunon – Timpangoh, Penampang, ditemui lemas di Sungai Moyog, tidak jauh daripada lokasi mangsa pertama ditemui semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, BBP Penampang, Zeno Tinggalan berkata mangsa dikenali Tomansi Olaf, ditemui pasukan pencari kira-kira 300 meter dari pos kawalan operasi kedua,
11.04 pagi tadi.

Katanya, mangsa disahkan telah meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, operasi mencari ditamatkan jam 11.15 pagi tadi.

Semalam, pasukan mencari menemui mayat mangsa pertama, Harold Walter, 17 tahun di Sungai Moyog di Kampung Pagansakan Inobong, Penampang jam 2.45 petang, kira-kira 3 kilometer dari lokasi dia dilaporkan dihanyutkan arus deras.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Sabtu lalu, kegembiraan enam rakan untuk mandi sungai bertukar tragedi apabila dua daripada mereka hilang selepas dihanyutkan arus deras di sungai Kampung Pogunon – Timpangoh, Penampang.

Dalam insiden itu, keenam-enam mangsa, kesemuanya penuntut Tingkatan Lima, di Sekolah Menengah St. Michael, Penampang dilaporkan cuba menyeberangi sungai, namun berlaku kejadian ‘kepala air’ yang menyebabkan arus deras.

Empat terselamat namun turut berdepan detik cemas apabila terperangkap di sungai berkenaan sebelum dibantu bomba.

Zeno berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.10 petang, Sabtu lalu sebelum sepasukan pegawai dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 6 kilometer dari balai.

Operasi turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), polis, Angkatan Pertahanan Awam, unit dron, unit anjing pengesan dan penduduk kampung.