Tragedi Bot Karam Semporna, Mayat Dua Mangsa Terakhir Ditemukan

SEMPORNA: Mayat dua mangsa terakhir tragedi bot karam di Pulau Timbun Mata, di sini, Khamis lalu, ditemukan pagi tadi.

Ini menjadikan keseluruhan tujuh daripada 21 penumpang bot itu maut dalam kejadian itu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, mangsa Noranis Harimalam, 14, dan Aiman, 6, ditemukan penduduk kampung di perairan Pulau Puno Puno, di sini kira-kira 7.50 pagi tadi (Sabtu, 16 April).

Mayat mangsa diserahkan kepada polis marin untuk dibawa pulang ke Hospital Semporna bagi proses bedah siasat.

Khamis lalu, lima penumpang bot malang itu termasuk tiga kanak-kanak, lemas apabila sebuah bot dinaiki yang memuatkan 21 penumpang, karam ekoran cuaca buruk di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata.

14 lagi penumpang lagi penumpang diselamatkan penduduk kampung.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kampung Bakung-Bakung ke
Kampung Tandoan di Pulau Timbun Mata.

Sementara itu polis menahan tekong bot berkenaan yang berusia 64 tahun semalam (15 April) bagi membantu siasatan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Kes disiasat mengikut seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.