Usaha mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan 6 petang tadi dan akan disambung semula esok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Qawie Abd Gapar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.11 pagi tadi.
Katanya sepasukan 8 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera, kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah bot dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 28 kilometer dari balai.
Turut membantu gerakan mencari, sepasukan 9 anggota polis, polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta nelayan.
“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai sebuah bot nelayan dipercayai karam akibat dipukul ombak berhampiran kawasan Karambunai Nexus Resort.
“Terdapat 3 orang mangsa terlibat, 2 mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke Karambunai lagoon manakala seorang lagi mangsa masih hilang.
“Operasi mencari dilakukan menggunakan kaedah ‘surface searching’ menggunakan bot di pesisir pantai bersama bot APMM dan bot nelayan dari Karambunai ke Tanjung Badak sejauh 5 km,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya keadaan ombak yang kuat menyukarkan pergerakan bot ke laut.
Operasi ditangguhkan pada jam 6.00 petang tadi dan akan disambung semula esok.
Mangsa yang masih hilang dikenali Morris Dulin, 69 Tahun.
Manakala 2 lagi lelaki dalam bot berkenaan, terselamat.