TPM Zahid Janji ‘Bisik’ Tambah Calon Daripada Tiga Sayap UMNO

Ahmad Zahid berucap di perhimpunan
Ahmad Zahid berucap di perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Selasa

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjanji akan ‘membisikkan’ kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menambah jumlah calon daripada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Jaminan itu disuarakan naib presiden UMNO itu yang kini menjalankan tugas timbalan presiden, di hadapan perwakilan ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini, malam ini (Selasa).

Turut hadir, Ketua Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

tupper4

“Namun, ada prasyarat manteranya. Wanita, Pemuda dan Puteri perlu terus istiqamah. Buktikan kepada kepimpinan dengan bekerja keras dan terus bersemangat menjulang keperkasaan parti melalui kekuatan jentera pada sayap pergerakan masing-masing.

“Saya pasti, presiden parti merupakan seorang pemimpin yang memahami dan sayang serta baik hati kepada saudara-saudari semua. Insya-Allah,” kata beliau.

Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri turut yakin bahawa ketiga-tiga sayap akan terus menjadi nadi penggerak utama dalam menentukan UMNO terus relevan dan berkesinambungan.

Menyentuh prestasi ketiga-tiga sayap parti itu, Ahmad Zahid menzahirkan rasa kagum dengan pencapaian yang ditunjukkan mereka pada PRU13, apabila seramai 33 calon Wanita, 26 calon Pemuda dan lapan calon Puteri berjaya menjadi anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri.

Menyampaikan amanatnya kepada Wanita UMNO, Ahmad Zahid berharap semangat juang sayap Wanita tidak pudar dalam menepis sebarang dakyah pembangkang daripada berterusan memusnahkan kebahagiaan rakyat.

Beliau turut berpesan kepada Pemuda untuk memperkukuhkan perjuangan dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam menangani sebarang dugaan dalam UMNO.

Jelasnya, corak kepimpinan Pemuda di bawah Khairy dan naib ketuanya Khairul Azwan Harun selain sokongan anggota pergerakannya membuktikan Pemuda hari ini merupakan barisan yang boleh diharapkan dalam PRU14.

Ahmad Zahid turut memberi keyakinan Puteri UMNO akan terus menyerlah menerusi program sayap pergerakan itu yang banyak membantu golongan memerlukan.

Menyentuh pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu pelan hala tuju jangka panjang negara melalui penglibatan golongan muda, beliau mahu Pemuda dan Puteri bekerjasama secara aktif demi memastikan seramai mungkin golongan muda terlibat memberi input dan buah fikiran yang terbaik.