Tongod Dan Nabawan Bakal Mendapat Nama Dalam Sejarah Dengan Mengguna Pakai Konsep PBT Hijau

Oleh PEMBERITA BOERNEOTODAY
NABAWAN: Pelancaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Hijau Tongod dan Nabawan bakal menjadi sejarah kepada negara memandangkan ia merupakan PBT pertama seumpamanya diwujudkan dalam Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, PBT hijau khususnya di sini dan Tongod adalah antara agenda kerajaan Sabah dan pembangunan seumpamanya adalah yang terbaik dengan mengambil kira alam sekitar di kawasan daerah terlibat.

Katanya, kerajaan akan terus komited untuk membangunkan semua daerah di Sabah berdasarkan konsep tersendiri yang terdapat pada setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ini bukan sekadar cerita sahaja, Nabawan dan Tongod mempunyai kekayaan dari segi khazanah alam serta kita tidak akan merosakan kehijauan ini,” katanya ketika menyampai ucapan sempena lawatan rasmi beliau ke Nabawan sempena persediaan PBT Hijau di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, agenda pembangunan setiap PBT yang ingin dicapai itu bukan retorik semata-mata, sebaliknya akan direlialisasikan agar masyarakat khususnya di luar bandar tidak ketinggalan dari arus kemajuan ekonomi.

Jelasnya, kekayaan alam sekitar di sini perlu dikekalkan dan dipulihara bagi memastikan ianya dapat dijadikan punca sumber ekonomi masyarakat setempat.

Katanya, keindahan bukit bukau di PBT hijau ini tidak seharusnya dirosakkan, ia perlu dikekalkan dalam usaha bagi menjadikan Nabawan sebagai destinasi tarikan pelancongan.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pembangunan PBT hijau akan dilaksanakan secara tersusun, komprehensif dan terancang dengan mengekalkan alam persekitaran.

Katanya, pembangunan seumpamanya di PBT Nabawan dan Tongod dilaksanakan agar ianya mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan George Hiew.