Tolak Pemimpin Tiada Pendirian – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengingatkan rakyat Sabah agar membuka mata bagi menilai pemimpin yang mudah berubah pendirian disebabkan politik wang.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, pemimpin seperti Jeffrey Kitingan yang cepat berubah pendirian harus ditolak kerana sanggup mengkhianati mandat yang diberikan rakyat.

“Dulu orang Tambunan undi dia, pasal dia cakap kita lawan Musa Aman, kita tumbangkan BN di Sabah. Kemudian dia menang, dia peluk Musa Aman.

“Pilihan raya (PRU14) mana ada BN menang. Kita sudah menang, kita ada 31 kerusi pasal Jeffrey juga pembangkang. Dia ada dua kerusi, kita ada 29 jadi semuanya 31 kerusi. Jam 11 malam dia hubungi saya, dia maklumkan mahu membentuk kerajaan.

“Dia mahukan jawatan Timbalan Ketua Menteri, saya beritahu Darrell Leiking, dia juga setuju. Kemudian dia kata akan jumpa saya,” katanya semasa berucap dalam Majlis Bersama Rakyat di Lido Square, di sini hari ini.

Namun, apa yang berlaku sebaliknya. Apabila melihat televisyen, Jeffrey sudah berada di Sri Gaya, sudah peluk dan bersalam dengan Musa Aman.

Bayangkan dalam tempoh dua hari sebelum itu, dia lawan Musa Aman, kemudian dia boleh bertukar pendirian dalam sekelip mata.

“Saya tidak tahu apa dia mahu. Kalau dia mau itu (wang) barang, saya bukan banyak duit, itu Musa Aman banyak duit,” ujarnya.

Katanya, pemimpin seperti Jeffrey mudah berubah pendirian dan suka melompat parti. Itu cukup jelas menggambarkan nilai yang diletakkan dalam dirinya.

Mohd Shafie berkata, jangan meletakkan nilai diri serendah itu hingga sanggup meninggalkan rakan seperjuangan demi mahu mengejar jawatan.

“Saya kalau mahu, lagi tinggi pangkat saya tapi saya tidak mahu kerana saya berkerjasama dengan Ginger (Phoong Jin Zhe), Tan (Tan Lee Fatt), Jannie dalam pilihan raya lalu. Tidakkan bila dapat jawatan, kita tinggalkan kita punya kawan.

“Kita kena ada nilai dalam kehidupan. Kena ada kejelasan untuk membezakan mana yang betul dan salah.

“Saya sanggup kalahkan adik saya yang berlawan dengan calon Warisan Lahad Datu kerana saya tidak undi darah daging saya. Saya mengundi untuk rakyat Sabah demi memastikan perubahan berlaku,” jelasnya.

Mohd Shafie yang juga calon DUN Senallang ini berkata, kerjasama yang baik bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diteruskan.

Kesanggupan DAP mengorbankan lambang roket demi menyokong Warisan cukup jelas memperlihatkan kesepaduan yang wujud antara Warisan Plus yang menggabungkan Warisan, DAP, PKR dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).