Tolak PBS Kerana Bersama PAS Yang Tidak Setuju Pindaan Perlembagaan

2591
Tindakan PBS bersekongkol dengan Pas dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat Sabah.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Tindakan Parti Bersatu Sabah (PBS) bersekongkol dengan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Pas adalah parti yang menolak usul pindaan Perlembagaan di Parlimen bagi membolehkan hak Sabah dikembalikan seperti di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, parti itu jelas tidak mahu membantu rakyat Sabah daripada mendapat hak sebagai rakan sekutu Semenanjung dengan tindakan menolak usul berkenaan tetapi PBS masih mahu bekerjasama dengan parti itu.

“Bila di Parlimen saya baca, saya sokong pinda Perlembagaan tetapi Pas tidak sokong mahu bantu orang Sabah, Pas tolak.

“Parlimen ada 221 kerusi kita perlu dua pertiga atau 148 undi untuk pinda Perlembagaan tetapi tidak dapat kerana UMNO tidak sokong dan Pas juga tidak sokong,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat malam tadi.

Mohd. Shafie berkata, sehubungan itu pengundi Sandakan perlu menolak PBS pada 11 Mei nanti kerana kerjasama yang wujud dengan Pas.

Mengulas tentang hak Sabah terutama royalti petroleum, kata Mohd. Shafie, beliau telah meminta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meningkatkan jumlah bayaran kepada Sabah kerana hasil bumi itu adalah milik rakyat Sabah.

Tegasnya, kadar lima peratus yang dibayar sejak 1974 sudah tidak relevan sekarang dan perlu ditingkatkan.

“Saya beritahu Tun royalti minyak mesti nilai kembali bukan lagi lima peratus, 95 peratus pergi Persekutuan sebab itu kami punya minyak.

“Saya beritahu kalau berurusan dengan saya sebagai kerajaan negeri saya akan lantang demi rakyat, saya fahamlah kalau 1974 tetapi sekarang sudah 2019 mana boleh kongsi lagi lima peratus.

“Sabah bukan macam Kelantan atau Terengganu dibayar lima peratus sebab kalau tiada Sabah, Malaysia tidak akan wujud kerana Sabah adalah rakan sekutu Semenanjung,” katanya.