Tolak Fahaman Ekstremis Demi Perpaduan Umat – Ketua Menteri

1301

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri diingatkan supaya menolak fahaman ekstremis dan pelampau yang dilihat boleh menghakis usaha menyatupadukan umat Islam di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, sifat-sifat serta sentimen perkauman juga perlu dipastikan tidak keterlaluan.

“Sekiranya sifat-sifat perkauman dan ekstremis ini menjadi amalan kita maka, saya yakin perpaduan umat tidak akan dapat kita langsungkan.

“Kadang-kadang kita dapat melihat bagaimana syiar Islam dicemarkan disebabkan amalan puak pelampau dalam kalangan kita selaku penganut agama Islam,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri, di Masjid Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan sikap kesederhanaan seperti yang dipaparkan oleh Rasulullah. Dengan cara sebegitu barulah limpahan pembangunan fizikal dan ekonomi negeri dapat dinikmati.

Pemenang Anugerah Khas Maulidur Rasul diberikan kepada Najion Jamil.

Beliau berkata, dengan menolak sifat-sifat ekstremis, radikal dan perkauman barulah perpaduan kaum dapat dipupuk.

Keadaan itu membolehkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terpelihara dan ini sekaligus dapat menarik pelabur asing untuk melakukan perniagaan di negeri ini.

Shafie juga menyarankan umat Islam supaya menjadikan Rasulullah sebagai contoh terbaik kerana beliau mempunyai nilai-nilai kesederhanaan dalam menyebarkan syiar Islam.

“Rasulullah memperkenalkan pentadbiran yang sederhana dan sifat-sifat itulah yang seharusnya menjadi ikutan umat.

“Namun, malangnya pada hari ni sejak kemangkatan Rasulullah berbagai tafsiran agama dan ajaran-ajaran wujud sehingga ada yang sanggup berbunuh antara satu sama lain. Mereka satu bangsa, satu agama tetapi mereka berbunuh antara satu sama lain kerana kewujudan berbagai tafsiran,” ujarnya.

Tun Juhar menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada Datuk Hanan Ramli bagi kategori lelaki.

Menurutnya, keteguhan dan keutuhan dalam sesebuah masyarakat bergantung kepada kemantapan ekonomi, kestabilan politik, kesejahteraan sosial dan yang penting kemampatan perpaduan dalam kalangan masyarakatnya.

Beliau berkata, perpaduan menjadi keutamaan yang tinggi untuk membentuk sebuah negeri mahupun negara yang aman dan harmoni. Tanpa keharmonian sudah pasti negara akan porak peranda sekaligus merencatkan pembangunan yang dirancang.

Sementara itu, penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul 2018, Najion Jamil, 61, melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas penghormatan yang diberikan itu.

Bekas Penolong Pengarah Penerbitan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) ini berkata, cacat penglihatan bukan penghalang kepadanya untuk meneruskan impian menjadi seorang penulis.

Sejak bergiat aktif dalam bidang penulisan, beliau telah menghasilkan sembilan karya buku keagamaan.

Tun Juhar menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada Ustazah Zubaidah Jammadi bagi kategori wanita.

Beliau merasa orang istimewa sepertinya perlu berfikiran positif bahawa kekurangan diri bukan alasan untuk mengalah.

Hilang penglihatan sejak berusia tiga tahun merupakan cabaran yang perlu ditempuhi secara positif.

“Sejak di sekolah rendah lagi kami kena didik supaya tidak menyalahkan takdir semata-mata. Anggap kekurangan diri itu sebagai pembakar semangat untuk kekal berjaya sama seperti orang normal yang lain.

“Oleh itu, saya berharap ibu bapa yang berada di luar sana supaya jangan mengurung anak-anak istimewa sebaliknya, hantar mereka ke sekolah pendidikan khas agar bakat mereka boleh digilap dan mereka mampu berdikari,” jelasnya.

Turut menerima anugerah adalah Datuk Hanan Ramli dan Zubaidah Jamadi masing-masing menerima Anugerah Maulidur Rasul kategori lelaki dan wanita.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Yang DiPertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni, isteri kepada Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar serta barisan jemaah kabinet lain.