Tolak Budaya Ekstremis Demi Kesinambungan Pembangunan – Ben

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Penduduk di daerah ini disaran supaya menolak budaya ekstremis agar kesejahteraan hidup masyarakat berbilang kaum di Sabah dapat dikekalkan.

Pembantu Menteri Perdagangan & Perindustrian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Kapor Ben Chong berkata, budaya ekstremis perlu ditolak kerana ia mampu memecahbelahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum yang sudah lama terjalin.

“Kita harus berbangga kerana masyarakat majmuk di Sabah sudah lama hidup dalam keharmonian dan itu disenangi oleh orang luar yang berkunjung ke Sabah.

“Jika dilihat setiap perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Krismas diraikan oleh semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“Amalan ini membantu mengeratkan lagi sifat toleransi antara kaum di Sabah.

“Maka, jangan jadikan hasutan berbentuk sentimen perkauman disebarkan pihak tidak bertanggungjawab kerana ia akan mengugat keamanan dan keharmonian kaum di negeri ini termasuklah di Kudat,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Adun Pitas Datuk Bolkiah Ismail, di Dewan Majlis Daerah Pitas, di sini pada Khamis.

Menurutnya, Kudat bakal menikmati pembangunan berterusan dibawah Kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Malah, pelabur asing dikatakan berminat untuk terlibat dalam pembangunan di Kudat.

Beliau percaya kemasukan pelaburan sebegitu akan membolehkan penduduk setempat memperbaiki taraf hidup masing-masing apabila ekonomi di Kudat bertambah maju.