TLDM Terima Kapal LMS Kedua ‘Sundang’

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima Kapal Misi Persisir (LMS) keduanya iaitu Sundang di Pelabuhan Wucang, Shanghai, China hari ini selepas lebih dua tahun pembinaannya.

TLDM dalam kenyataan hari ini menyebut Sundang berjaya melepasi beberapa siri ujian penerimaan di pelabuhan dan laut, sebelum diserahkan kepada kerajaan Malaysia dan dijadual belayar pulang ke negara ini pada minggu ketiga bulan ini.

Menurut kenyataan itu, Sundang mula dibina pada 23 Okt 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan, China sebelum dijadual diserah kepada kerajaan Malaysia pada 12 April tahun lalu.

Namun, ia hanya dapat dilaksanakan pada hari ini susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia, yang menyaksikan pembinaan Sundang terpaksa ditangguhkan pada 23 Jan tahun lepas.

“Projek tersebut diaktifkan semula pada 18 Mei 2020 dan bakal warga kapal Sundang telah dihantar semula ke Qidong, Shanghai pada Oktober tahun lepas, bagi menyambung siri latihan penyesuaian kapal yang tertangguh,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut upacara pentauliahan kapal berkenaan akan diadakan pada satu tarikh yang ditetapkan di pengkalan TLDM Kota Kinabalu, oleh Panglima Tentera Laut Tan Seri Mohd Reza Mohd Sany.

LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada ‘15to5’ TLDM dan kontrak perolehan empat buah LMS telah dimeterai antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada 23 Mac 2017, dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd.

Ia merupakan projek perolehan aset pertahanan kapital yang pertama dari negara China dan kapal ketiga dan keempat pula masing-masing dijadual diserahkan pada bulan September dan November ini.